Friday, January 16, 2009

SEJARAH : Sejak Merdeka

Semenjak merdeka, Malaysia diperintah oleh sebuah Pakatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional pada tahun 1971. Barisan Nasional merupakan satu gabungan parti-parti politik yang telah mendapat majoriti dalam Parlimen sepanjang sembilan pilihanraya yang diadakan sejak kemerdekaan Malaysia.

Namun, pada tahun 1969, buat pertama kalinya gabungan ini gagal mempertahankan majoriti dua pertiganya. Tekanan perkauman telah mengakibatkan rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah membawa kepada penubuhan kerajaan darurat yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara. Tun Razak telah dilantik sebagai Pengarah Operasi di bawah Akta Perintah Darurat selama 22 bulan sehingga perintah Darurat dibubarkan dan Parlimen dipulihkan pada 22 September 1970. Semenjak peristiwa tersebut, sasaran utama Kerajaan merupakan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang digubal untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira bangsa dan juga untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Tun Abdul Razak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri setelah persaraan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 22 September 1970. Perkembangan ekonomi yang dicapai pada tahun 1970an membolehkan pentadbiran Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, yang mengambil alih selepas kematian Tun Abdul Razak pada tahun 1976, mencapai tahap kemajuan yang membanggakan. Malaysia juga telah menggubal polisi luar negara yang lebih terbuka yang membawa kepada pembentukan Asean pada tahun 1967. Malaysia juga mengiktiraf negara komunis China pada tahun 1974 dan meletakkan Negara bersama negara-negara berkecuali dari dunia ketiga.

Dasar Ekonomi Baru telah diberi nafas baru di bawah teraju Tun Hussein Onn. Skim Amanah Saham Nasional mula diperkenalkan untuk membolehkan golongan bumiputera melabur di dalam pasaran saham. Saham Amanah tersebut diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Tahun 1980an telah membawa arah baru dalam arena politik dan cabaran ekonomi. Dato Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn pada 17 Julai 1981 telah mengambil langkah berani dengan mengembangkan dasar ekonomi dalam bidang industri berat seperti pelaksanaan projek kereta nasional, penapisan minyak dan perusahaan besi.


No comments: