Thursday, January 29, 2009

Mansuh Sayap Parti untuk atasi gejala rasuah ?

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Umno hari ini disaran menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berpendapat langkah itu perlu bagi memperbaiki dan memperkuatkan semula parti yang telah 50 tahun menjadi tunggak kepada kestabilan di negara ini.

Beliau berkata gejala politik wang di dalam parti boleh dibendung jika pemilihan di dalam parti dapat dikurangkan dengan memansuhkan sayap-sayap parti, terutamanya yang baru ditubuhkan.

"Saya dok fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana selagi ada Puteri dan Putera, banyak lagi duit dok main. Saya juga berfikir barangkali Pemuda dan Wanita juga perlu dipertimbang. Di England, rasanya tidak ada women or ladies association baik dalam parti Konservatif mahupun Parti Buruh," katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang media lembaga itu di sini hari ini berkata, anggota Puteri dan Putera yang rata-rata masih terlalu muda sepatutnya memberikan tumpuan kepada pelajaran dan bukannya terlibat di dalam arena politik.

"Puteri dan Putera ini sepatutnya mementingkan pelajaran, bukan masanya untuk mereka terlibat dalam politik, kalau hendak bagi pendedahan pun janganlah terlalu awal.

"Mereka ni masih umur belasan dan awal 20-an," katanya yang mengakui ada anggota sayap itu yang terlibat politik wang tetapi setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang tampil membuat aduan.

Beliau berkata banyak yang masih perlu dipelajari oleh golongan itu terutamanya kerana negara bergantung kepada golongan muda untuk menerajui negara pada masa akan datang.

"Kita bergantung kepada orang muda untuk membawa negara kita pada tahap yang tinggi dan bertanding dengan negara lain, kalau nak berpolitik, tak de keje lain la (melainkan) politik sahaja," katanya.

Beliau yang berharap saranan itu dipertimbang pucuk pimpinan tertinggi parti turut berpendapat bahawa sistem kuota yang diamalkan pada masa ini juga perlu dimansuhkan kerana ia membawa akibat buruk kepada parti dari aspek gejala politik wang.

Di bawah sistem itu, seseorang ahli perlu mendapat sejumlah pencalonan dari bahagian-bahagian untuk layak bertanding jawatan dalam Umno.

petikan 29 Jan 2009-- BERNAMA

Selamat Tahun Baru Cina 2009 !

Ms Butterfly mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2009 kepada semua golongan yang menyambut hari tersebut seluruh Malaysia !

Ms juga mengucapkan tahniah dan berbangga dengan ADUN N.22 Pantai Manis, Datuk Hj Abdul Rahim Bin Ismail kerana sudi meluangkan masa hampir 4 jam untuk pengagihan kad dan juga angpow kepada masyarakat Tionghua di sekitar Pekan Papar yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dianggarkan seramai 500 masyarakat Tionghua di sini yang majoritinya adalah peniaga menerima sumbangan daripada Datuk Hj Abdul Rahim dalam program berkonsepkan turun padang itu. Lawatan yang bermula seawal 8.00 pagi itu merupakan acara tahunan beliau yang kini memasuki tahun ke-empat.

Semua pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat termasuk Kapitan Cina turut serta dalam rombongan itu bagi melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh masyarakat Tionghua di Papar.

Di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim, program ini secara langsung dapat mendengar segala keluhan dan rintihan yang dihadapi oleh masyarakat Tionghua di sini yang kebanyakannya adalah peniaga.

Dengan adanya penyertaan daripada pemimpin-pemimpin tempatan, mereka secara langsung akan dapat melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh masyarakat ini.

Datuk Hj Abdul Rahim seterusnya berharap Tahun Baru Cina ini akan membawa peluang-peluang keemasan kepada para peniaga agar terus maju dan berdaya saing.

Friday, January 16, 2009

SEJARAH : 1970an - Sekarang

PERUSAHAAN KERETA NASIONAL

Pada mulanya projek kereta nasional dijalankan secara usahasama di antara Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON), HICOM Berhad, Mitsubishi Motors Corporation dan Mitsubishi Corporation. Pada 9 Julai 1985, kereta Proton Saga yang pertama telah dikeluarkan. Kereta Proton telah mencapai tahap jualan paling laris dalam pasaran kereta penumpang di Malaysia dan juga di luar negara sejak tahun 1990.

MENARA BERKEMBAR PETRONAS

Projek Menara Berkembar Petronas telah dilancarkan pada 15 September 1992 bersama dengan projek Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC). Menara berkembar ini mempunyai 88 tingkat di setiap menara dengan ketinggian 451.9 meter. Justeru, ia telah diiktiraf oleh “The Council on Tall Buildings and Urban Habitat” sebagai bangunan tertinggi yang baru di dunia, menjadikannya sebagai satu mercu tanda dunia yang terletak di Kuala Lumpur.

MENARA KUALA LUMPUR

Menara Kuala Lumpur yang terletak 94 meter di atas paras laut dan mempunyai ketinggian 421 meter telah diiktiraf sebagai menara komunikasi yang ketiga tertinggi di dunia dan yang tertinggi di Asia. Menara Kuala Lumpur merupakan sebuah menara komunikasi bagi Malaysia dan dilengkapi dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan teknologi yang kian meningkat di negara ini. Ia telah menjadi pusat tarikan pelancong kerana keunggulannya sebagai salah satu mercu tanda bagi bandaraya Kuala Lumpur dan juga negara. Menara ini merupakan satu kebanggaan yang baru bagi penduduk Malaysia dan menjadi satu ukuran kepada kemajuan negara dalam menuju Wawasan 2020.

LAPANGAN TERBANG KLIA

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di Sepang, 75 kilometer di selatan Kuala Lumpur. Ia mula beroperasi pada bulan Jun 1998 dan merupakan lapangan terbang terbesar di Asia dengan keluasan yang mencecah 100 kilometer persegi. KLIA dibina bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara kepada 125 juta pengguna untuk 100 tahun yang akan datang.

KORIDOR RAYA MULTIMEDIA

Satu lagi pencapaian Malaysia dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang berteknologi tinggi dan berindustri menjelang tahun 2020 ialah dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC). Ia dibangunkan bagi membantu usahawan muda dan syarikat-syarikat yang baru bertapak yang memerlukan tunjuk ajar dan sokongan. Tapak Inkubator MSC yang seluas 7.65 ekar terletak di dalam kampus Universiti Multimedia. Pusat Inkubator MSC pula terletak di Cyberjaya, sebuah bandar bistari yang bersebelahan dengan bandar pusat pentadbiran kerajaan iaitu Putrajaya.





SEJARAH : Sejak Merdeka

Semenjak merdeka, Malaysia diperintah oleh sebuah Pakatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional pada tahun 1971. Barisan Nasional merupakan satu gabungan parti-parti politik yang telah mendapat majoriti dalam Parlimen sepanjang sembilan pilihanraya yang diadakan sejak kemerdekaan Malaysia.

Namun, pada tahun 1969, buat pertama kalinya gabungan ini gagal mempertahankan majoriti dua pertiganya. Tekanan perkauman telah mengakibatkan rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah membawa kepada penubuhan kerajaan darurat yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara. Tun Razak telah dilantik sebagai Pengarah Operasi di bawah Akta Perintah Darurat selama 22 bulan sehingga perintah Darurat dibubarkan dan Parlimen dipulihkan pada 22 September 1970. Semenjak peristiwa tersebut, sasaran utama Kerajaan merupakan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang digubal untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira bangsa dan juga untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Tun Abdul Razak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri setelah persaraan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 22 September 1970. Perkembangan ekonomi yang dicapai pada tahun 1970an membolehkan pentadbiran Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, yang mengambil alih selepas kematian Tun Abdul Razak pada tahun 1976, mencapai tahap kemajuan yang membanggakan. Malaysia juga telah menggubal polisi luar negara yang lebih terbuka yang membawa kepada pembentukan Asean pada tahun 1967. Malaysia juga mengiktiraf negara komunis China pada tahun 1974 dan meletakkan Negara bersama negara-negara berkecuali dari dunia ketiga.

Dasar Ekonomi Baru telah diberi nafas baru di bawah teraju Tun Hussein Onn. Skim Amanah Saham Nasional mula diperkenalkan untuk membolehkan golongan bumiputera melabur di dalam pasaran saham. Saham Amanah tersebut diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Tahun 1980an telah membawa arah baru dalam arena politik dan cabaran ekonomi. Dato Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn pada 17 Julai 1981 telah mengambil langkah berani dengan mengembangkan dasar ekonomi dalam bidang industri berat seperti pelaksanaan projek kereta nasional, penapisan minyak dan perusahaan besi.


SEJARAH : Penubuhan Malaysia

Pada tahun 1955, Singapura telah diberikan kuasa pemerintahan dalaman di bawah Perlembagaan Rendel dan David Marshall telah dilantik menjadi Ketua Menterinya yang pertama. Pada tahun 1959, Singapura yang diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) di bawah pimpinan Lee Kuan Yew, telah mendapat kuasa penuh untuk menubuhkan kerajaan sendiri. Di Sarawak pula, pilihanraya tempatan diperkenalkan pada tahun 1959.

Langkah pertama dalam penubuhan Malaysia bermula pada tahun 1961 apabila satu cadangan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman. Cadangan ini secara amnya diterima oleh penduduk Malaya dan Singapura, tetapi menimbulkan rasa curiga di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dibantah oleh Filipina yang telah membuat tuntutan hak ke atas Sabah. Cadangan ini juga menerima tentangan dari Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah untuk menjajah Borneo oleh Sukarno dan Parti Komunis Indonesia.

Cadangan ini bagaimanapun mempunyai kesan langsung dalam mempercepatkan penggubalan perlembagaan di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pilihanraya diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan di Sabah pada tahun 1962. Satu suruhanjaya kerjasama Inggeris-Malaya yang diketuai oleh bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, telah melawat Sabah dan Sarawak pada tahun 1962 dan melaporkan bahawa kebanyakan negeri menyokong penubuhan Malaysia.

Walau bagaimanapun, tentangan yang berterusan daripada Filipina dan Indonesia telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada tahun 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia.

Justeru, pada 16 September 1963, Malaysia telah secara rasminya dibentuk dan ia terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei pula menolak usul untuk menyertai Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan menjadi sebuah negera yang merdeka.

Beberapa tahun selepas penubuhan Malaysia, satu konfrontasi ketenteraan telah berlaku di antara Malaysia dan Indonesia apabila Indonesia membuat serangan ke atas Semenanjung Malaysia dan sepanjang sempadan darat Sabah dan Sarawak. Konfrontasi tersebut berakhir pada tahun 1966 dengan termeterainya satu perjanjian di Bangkok, Thailand.

Thursday, January 15, 2009

SEJARAH : Kemerdekaan Malaya

Persekutuan Malaya telah dibentuk bagi menggantikan Kesatuan Malaya setelah beberapa siri perbincangan diadakan di antara raja-raja Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan lain-lain pihak yang terlibat. Persekutuan yang baru ini terdiri daripada kesemua sembilan Negeri-negeri Melayu di Semenanjung, bersama Melaka dan Pulau Pinang. Persekutuan Malaya berada di bawah pentadbiran sebuah kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur yang diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British.

Pembubaran Kesatuan Malaya pada tahun 1948 telah memaksa pihak British untuk membuka jalan bagi kemerdekaan Persekutuan Malaya. Akibat daripada dua tekanan utama yang terdiri daripada peristiwa Darurat dan juga perkembangan pergerakan nasionalis Melayu iaitu UMNO, pihak British memperkenalkan sistem pilihanraya pada tahun 1951 di peringkat tempatan.

Masalah dalam mendapatkan kerjasama politik daripada kumpulan etnik utama di negara ini dalam memperjuangkan kemerdekaan berjaya diatasi dengan pembentukan pakatan di antara UMNO dan Persatuan Cina Malaya (MCA) dan kemudiannya disertai oleh Kongres India Malaya (MIC). Ketika pilihanraya persekutuan yang pertama diadakan pada tahun 1955, pakatan UMNO-MCA-MIC yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah memperolehi kemenangan yang besar dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Persekutuan Malaya. Pakatan tersebut telah berjaya memaksa British untuk melepaskan kuasa pemerintahan mereka dan pada 31 Ogos tahun 1957, Persekutuan Malaya telah mencapai kemerdekaannya.

SEJARAH : Penubuhan Malayan Union

Pada bulan Oktober 1945, pihak British mengumumkan satu langkah berani bagi menamatkan cara pemerintahan secara tidak langsungnya dengan menyatukan kesemua negeri menjadi Kesatuan Malaya di bawah seorang Gabenor yang mempunyai kuasa eksekutif. Ia juga telah mencadangkan untuk memperkenalkan kewarganegaraan Malaya yang akan memberi hak sama rata kepada mereka yang mengakui Malaya sebagai tanah airnya.

Walaupun Pulau Pinang dan Melaka merupakan sebahagian daripada cadangan Kesatuan Malaya, ia tetap akan menjadi Jajahan British. Singapura juga akan menjadi jajahan yang berasingan. Kesatuan Malaya dan Singapura akan mempunyai Gabenor, Majlis Eksekutif dan Perundangan mereka sendiri.

Di bawah Kesatuan Malaya, Sultan-sultan Melayu akan menjadi Presiden Majlis Penasihat Melayu di negeri masing-masing, yang bertanggungjawab ke atas hal-hal keagamaan sahaja. Sultan-sultan Melayu dikehendaki menandatangani perjanjian baru yang akan memberikan kerajaan British kekuasaan mutlak di negeri mereka. Perlembagaan yang dicadangkan ini merupakan satu perubahan yang menyeluruh dalam dasar kerajaan British. Selama ini, Negeri-negeri Melayu tidak pernah menjadi wilayah British secara mutlak dan hanya merupakan negeri-negeri yang dilindungi British.

Pada bulan Oktober 1945, Sir Harold MacMicheal, wakil khas kerajaan British tiba di Kuala Lumpur bagi membincangkan perjanjian baru dengan Sultan Negeri-negeri Melayu. Walaupun membantah, pihak Sultan telah menandatangani perjanjian tersebut dan melepaskan hak kedaulatan dan kekuasaan mereka kepada Kerajaan British. Parti-parti politik dan persatuan-persatuan ditubuhkan di seluruh negara dengan tujuan menentang cadangan Kesatuan Malaya yang akan berkuatkuasa pada 1 April 1946 di mana sebuah pentadbiran kerajaan awam akan ditubuhkan.

Pada 1 March 1946 wakil-wakil daripada 41 persatuan dan pertubuhan Melayu telah membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dato’ Onn Jaafar telah dilantik sebagai Presiden yang pertama dan orang-orang Melayu pada waktu itu buat pertama kalinya, menjadi lebih bersatu apabila memperjuangkan satu hala tuju yang dikongsi bersama. UMNO menjadi peneraju bagi penentangan orang Melayu terhadap Kesatuan Malaya. Perpaduan orang Melayu telah menjadi satu kuasa baru yang harus dihadapi oleh pihak British dan juga masyarakat Cina. UMNO seterusnya meluluskan satu resolusi yang mengisytiharkan bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh para Sultan tidak lagi sah dan telah batal. Pada 31 Mac 1945, Pentadbiran Ketenteraan British dibubarkan secara rasminya.

Pada 1 April 1946, Kesatuan Malaya diwujudkan dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai Gabenor Kesatuan Malaya di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, UMNO telah menuntut agar Kesatuan Malaya dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Malaya. Persekutuan Malaya yang dicadangkan ini terdiri daripada 9 buah Negeri-negeri Melayu dan 2 buah negeri jajahan British. Ia juga mencadangkan agar seorang Pesuruhjaya Tinggi dan bukannya seorang Gabenor, dilantik sebagai wakil Kerajaan British.

Cadangan tersebut juga menetapkan bahawa selain daripada orang Melayu, hanya generasi kedua orang Cina, India dan lain-lain bangsa yang berhak mendapat taraf kewarganegaraan persekutuan. Justeru, Kesatuan Malaya telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Januari 1948.




SEJARAH : Pentadbiran Tentera British

Pada 14 Ogos 1945, pihak Jepun telah menyerah kalah dan penjajahan tentera Jepun di Malaya pun berakhir. Penjajahan Jepun, serta kekalahan British di Malaya, Belanda di Indonesia dan Amerika di Filipina telah mengakibatkan keunggulan kuasa barat telah hilang atau berkurangan. Kerajaan British sepatutnya melindungi Malaya berikutan dengan satu perjanjian telah ditandatangani dengan Raja-raja Melayu di mana British telah memberi jaminan untuk melindungi negeri-negeri Melayu sebagai balasan kepada pelbagai keistimewaan dan hak yang dinikmatinya. Namun, apabila tentera Jepun menyerang Malaya, pihak British tidak menyediakan pertahanan yang cukup yang mengakibatkan Malaya tewas dengan mudah. Walau bagaimanapun, penjajahan Jepun telah menimbulkan kesedaran politik penduduk tempatan dan apabila pihak British kembali ke Malaya, satu situasi baru telah muncul.

Wednesday, January 14, 2009

LINDUNGI DIRI DARI TERJEBAK SKIM CEPAT KAYA

  • Ingatlah pada kata hikmat ini - Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan;
  • Berurusan hanya dengan INSTITUSI KEWANGAN BERLESEN dan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa;
  • Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
  • Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
  • Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
  • Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
  • Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.

APAKAH SKIM CEPAT KAYA ?

Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim "Cepat Kaya" yang berikut adalah dilarang di bawah undang-undang yang dikuat kuasakan oleh Bank Negara Malaysia:

    Aktiviti pengambilan deposit secara haram

    Aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

    Urus niaga mata wang asing haram

    Perbuatan yang berikut tergolong kepada urus niaga mata wang asing haram:

    • Membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).

    • Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.

SELAMAT TAHUN BARU 2009 !

Selamat Tahun Baru 2009 !

Alhamdulillah..
Segala yg dirancang di tahun 2008 menjadi..Kerja beres..Majlis persandingan..Upcoming baby..Good financial condition, investment & security..Hoping 2009 will bring greatness to my family..A small family of my baby girl (INSYALLAH), loving hubby & me..

Insyaallah, aku berdoa kepada ALLAH agar semuanya ok. Aku akan dapat anak yg baik & sihat. For the moment its been 27weeks. Last week kami buat 3D ultrasound & Allahuakbar..! Kami dapat lihat jari2 kecil dlm keadaan menggenggam & its so lovely ! We try to see her face, tp masa tu mukanya mengadap ke bawah, face down. We're so happy, hubby & me. Insyaallah next visit can see her face..

Other than that, my condition pula, everything is ok. Darah ok, berat overweight 5KG..(ya i know, hahaha), only that my sugar level la..ada problem. I would say a bit high, but the doctor said need to see pakar ! A bit high? Its very high la.. 10.7 la.. ;P

Kawal makan mmg susah..lebih2 lagi masa berbadan dua ni. Ada ja yg diidamkan.. Malah sanggup buat apa saja utk sebiji karipap ayam makcik milah di pasar am pekan ! Walaupun ada karipap lain yg lebih eksklusif dgn gorengan sempurna berwarna keemasan & bau yg "mesti mau"! So perfect buatan hotel 4 bintang lg tu.. but, all i want is one & only makcik milah punya !

Lain2 hal, aku redha dgn apa yg ada.. Mudah2an kita semua dilindungi dlm kerahmatan-Nya..